KULAI: Kerajaan Johor bersedia mengaktifkan laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi menangani kesesakan berikutan cuti sempena sambutan Krismas dan tahun baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pertambahan kaunter juga akan dibuat bagi mengurangkan kesesakan di kedua-dua CIQ BSI di Johor Bahru dan KSAB di Iskandar Puteri.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan juga akan mengawal kesesakan dan melakukan melakukan operasi penguatkuasaan.

"Laluan kontra ini akan diaktifkan ketika waktu puncak iaitu apabila ada banyak kenderaan dari Singapura masuk ke Malaysia, dan jumlah kenderaan yang keluar dari Malaysia pula adalah sedikit.

"Jadi, laluan keluar itu boleh digunakan sebagai laluan kontra, ini bagi membolehkan kita menampung kemasukan kenderaan yang banyak dari Singapura," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Selekoh 'S' di laluan FT001 Johor Bahru ke Air Hitam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kaedah bagi mengelak kesesakan di CIQ BSI dan KSAB ketika musim cuti perayaan Krismas dan tahun baharu.

Menurut Jabatan Imigresen Johor, terdapat 236 kaunter masuk dan keluar imigresen di CIQ BSI yang terdiri daripada kaunter motosikal (100), kereta (60), bas (36) dan pagar automatik (40).

Di KSAB pula, terdapat 162 kaunter masuk dan keluar melibatkan 50 kaunter motosikal, kereta (48), bas (52) dan pagar automatik (12).

Terdahulu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata pengembara dari republik itu dijangkakan perlu menempuhi kesesakan hampir tiga jam di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, susulan cuti Krismas dan tahun baharu.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri menyasarkan kerja-kerja di 10 daripada 44 lokasi 'hot spot' banjir kilat di bandar raya Johor Bahru dapat diselesaikan pada tahun depan, melibatkan kerja-kerja seperti penyambungan paip, pembelian pam air dan pembinaan ban.

Beliau berkata antara lokasi hot spot itu ialah Jalan Ayer Molek, bulatan Mount Austin dan beberapa kawasan kampung berhampiran Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL).

Kerajaan negeri katanya, pada masa sama berusaha menyelesaikan tiga projek sakit pada tahun depan, membabitkan Jalan Kempas di Johor Bahru, Kampung Rahmat di Batu Pahat serta Kampung Sawah di Pontian dengan keseluruhan kos sebanyak RM17.9 juta.

-- BERNAMA